RSS

CARA MERAKAM VIDEO


     
     Pada saat ini semua cikgu akan menggunakan kamera video sebagai gajet untuk sessi penggambaran Micro atau Macro Teaching. Tahukah cikgu, bagaimana cara hendak membuat rakaman video secara lebih berkesan dan menarik? Sudah tentu anda mahukan pensyarah memberikan kredit terbaik setelah melihat hasil video anda. Cikgu boleh gunakan apa sahaja gajet asalkan mempunyai fungsi merakam video tidak kira sama ada dari telefon bimbit, Kamera Compact, Kamera Camcorder dan yang terbesar Kamera Video.

      Langkah pertama yang harus cikgu lakukan ialah memastikan peralatan yang penting seperti kamera dan tripod telah sedia ada. Tripod penting supaya video kita tidak bergoyang semasa rakaman dilakukan. Sila dapatkan bantuan rakan ketika sessi penggambaran itu. Kedudukan atau angle kamera juga amat penting supaya babak-babak itu dapat dirakam dengan jelas dan audio suara cikgu dapat didengari dengan nyata.   Ada beberapa langkah untuk memastikan video itu menarik antaranya perlu ada wide shot angle, med shot angle dan close-up.

     Wide Shoot Angle (WSA) ialah rakaman dari sudut jarak jauh untuk menggambarkan kepada penonton "di mana peristiwa itu sedang berlaku"? Penonton juga ingin melihat keseluruhan situasi tempat itu. Di situ kita dapat membuat penceritaan berdasarkan latarbelakang tempat kejadian itu berlaku. Biasanya babak Wide Shot Angle hanya menggunakan 5% daripada keseluruhan video. Babak permulaan dan penutup video paling sesuai menggunakan WSA.

    Med Shoot Angle ialah rakaman dari sudut jarak dekat. Jika melihat skrin video ini bermakna dari paras pinggang hingga ke paras kepala. Babak dari sudut inilah yang paling banyak dimuatkan dalam video - lihat drama dan filem. Hampir 80%  scene atau babak dari jarak dekat ini digunakan. Peristiwa dari sudut Med Shoot Angle inilah paling banyak digunakan untuk melengkapkan penceritaan. Ketika cikgu merakam video Micro Teaching, wajah cikgu dapat dilihat jelas dengan jarak sebegini. Syaratnya babak di mana cikgu memberi penerangan mesti diselang-selikan dengan babak murid melihat pengajaran cikgu. Itu adalah berkaitan dengan suntingan yang akan diterangkan nanti.

    Close-up ialah jarak paling dekat dengan mengambil video  raut wajah seseorang untuk menggambarkan reaksi contohnya cara subjek itu memberi tumpuan, suka atau tersenyum juga penting untuk melengkapkan sesebuah video itu. Hampir 15% babak ini digunakan. Shot ini boleh dilakukan berkali-kali tetapi kena ikut hadnya. Rancangan drama bersiri Telenovela banyak menggunakan babak ini bagi menggambarkan reaksi wajah orang yang berlakon. Cikgu boleh menggunakan pendekatan ini dengan merakam wajah murid cikgu satu persatu sebelum rakaman sebenar dilakukan.

  Banyak lagi rahsia video yang ingin saya dedahkan tetapi inilah kemahiran asas yang perlu cikgu ketahui agar menjadi panduan berguna untuk merakam video. Selamat mencuba.

LENSA DAN MATA

    
     Amat mudah untuk difahami.bahawa lensa kamera adalah ciptaan manusia. Lensa mata adalah ciptaan Tuhan. Namun Dia yang Maha Kuasa menggerakkan minda manusia sehinga dapat menggunakan lensa kamera. Lensa mata manusia amat jujur dalam merakam peristiwa. Itu telah menjadi fitrah. Bagi lensa kamera pula, terpulang kepada orang yang berada di belakang lensa kamera untuk berlaku jujur untuk merakam peristiwa itu.

 Seringkali berlaku krisis dalam kehidupan manusia di dunia ini akibat tiada kejujuran menggunakan lensa kameranya. Kita tahu bahawa lensa kamera merakam apa yang telah di 'interpretasikan' oleh lensa mata. Malangnya apa yang dirakamkan tidak sama dengan apa yang dipersembahkan. Seringkali kebenaran yang dilihat melalui lensa mata, dibohongi oleh lensa kamera. Hak keadilan manusia tercabut apabila lensa kamera telah mendominasikan hidup manusia. Kebenaran telah digantikan dengan kepalsuan.

    Amatlah malang sekiranya apa yang dirakam tidak sama dengan apa yang dilihat oleh lensa mata. Ia dijual dengan harga yang tinggi dan di ‘industri’ kan sehingga akhirnya mengaburi mata manusia. Ia menjadi bahan propaganda untuk mencapai tujuan dan selera manusia. Ironisnya lensa kamera telah mengambil tempat dalam kehidupan manusia. Lensa mata semakin terpencil dan terbiar hanyut dibawa arus. Akan tetapi sinaran lensa memancar di seluruh pelusuk . Skrin-skrin terpapar mewarnai dunia sehingga memperdaya mata yang melihatnya.

     Melainkan penggiat seni lensa kamera yang memanipulasikan lensa kameranya dengan unsur ‘pembohongan’yang ‘dibenarkan’ .  Pada hari ini penggiat-penggiat yang memanipulasi lensa kamera telah meng ‘industri’kan elemen ini dan memberi dimensi nafas baru yang tiada penghujungnya. Dari hari ke hari kita sering terperangkap antara fakta dan rekaan melalui sudut pandangan lensa kamera. Sesungguhnya lensa mata tidak pernah membohongi kita melainkan dipermainkan oleh perasaan dan khayalan. Saya yakin bahawa lensa mata saya dan lensa mata anda boleh dipercayai. Cuma ...bagaimana pula dengan lensa kamera anda?

KELAS PEMULIHAN

VOKAL BERGANDING